MAKSUD SAMAK
Samak pula ialah perbuatan menyucikan kulit binatang daripada kekotoran untuk kegunaan tertentu. Semua kulit binatang boleh disucikan dengan kaedah samak kecuali kulit anjing, babi serta keturunannya.
Memetik perkongsian dari Mufti WP, perkataan samak diambil dari perkataan bahasa Arab iaitu الدبغ yang membawa maksud kaedah menyucikan kulit haiwan yang boleh diamakan atau tidak, iaitu dengan menghilangkan darah, daging dan semua yang melekat pada kulit yang membusukkan jika tidak dibuang.
Untuk menyucikannya, sesuatu alat tajam seperti tawas atau buah manjakani perlulah digunakan.
MAKSUD SERTU
Menurut perkongsian daripada JAKIM, sertu merupakan perbuatan menyucikan sesuatu daripada najis mughallazah iaitu anjing, babi dan keturunannya.
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN NAJIS MUGHALLAZAH? Najis mughallazah perlulah disucikan dengan membasuh sekali menggunakan air bercampur tanah dan diikuti dengan enam kali air besih atau air mutlak. Najis perlulah disucikan daripada pakaian, badan atau tempat yang terjejas.
Perkara ini disebutkan di dalam hadith yang riwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ
Maksudnya: Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.
APAKAH JENIS NAJIS MUGHALLAZAH?
Najis mughallazah atau najis berat ini terbahagi kepada dua, iaitu:
Pertama, anjing dan keturunannya serta semua yang berasal daripadanya adalah najis, termasuk air liur, peluh dan darah.
Seterusnya, babi dan keturunannya sama ada disembelih mengikut syarak atau tidak, haiwan ini adalah najis berat.