Kebersihan adalah sebahagian daripada iman, dan Islam sangat menitikberatkan kebersihan. Terdapat beberapa kaedah dalam penyucian iaitu samak dan sertu. Dua perkataan ini jugalah yang membuatkan ramai orang keliru akan maksud dan perbezaannya.
SAMAK
Jadi apa itu samak? Samak ialah proses menyucikan kulit haiwan yang halal dimakan atau tidak, dengan membersihkan darah, daging dan semua yang melekat pada kulit dimana jika ianya tidak dibersihkan dengan betul maka akan menyebabkan bau yang kurang enak dan busuk.
Proses samak kebiasaannya dilakukan dalam penghasilan barang kulit sebagai contoh, kulit lembu yang telah disembelih hendak dibersihkan bagi membuang sisa kotoran seperti lendir dan darah yang melekat di kulit tersebut.
SERTU
Sertu pula bermaksud proses penyucian sesuatu sama ada pakaian, tempat atau badan daripada najis berat (mughalazah) seperti anjing dan babi. Langkah untuk melakukan proses sertu adalah dengan membasuh tempat terkena najis dengan air sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan menggunakan debu/tanah.