
DUNIA fesyen menjadi sebaha- gian kehidupan Haslinda Md Isa sejak kecil lagi berikutan ibunya seorang tukang jahit. Sebagai anak perempuan tunggal dalam keluarga, beliaulah orang pertama yang tidak sabar untuk menggayakan pakaian baru hasil rekaan ibunya. Tanpa disedari, minat terhadap fesyen mula timbul kerana sering memerhati hasil seni jahitan ibunya, Siti Isah Salleh.
Haslinda seorang anak yang pintar sehingga berjaya melanjutkan pengajian di bawah program khas ke Paris selama enam tahun. Dek keberadaannya di sekolah terkemuka di Strasbourg dan merantau dalam tempoh yang agak lama bagi menghabiskan pengajian Ijazah Pengurusan Hotel sehingga ke peringkat Sarjana (Mastere) di Institut Vatel Paris, beliau fasih berbahasa Perancis dan mempunyai pengetahuan dalam bahasa Itali.
“Kebanyakan percutian musim panas di Perancis dihabiskan untuk bekerja di pelbagai hotel dan restoran. Daripada semua tempat yang saya pernah bekerja, tempat yang paling saya tidak dapat lupa ialah ketika berada di Hotel Ambassador, berjalan kaki dari Galleries Lafayette iaitu sebuah kompleks membeli-belah paling mewah di Paris.
“Saya berjalan di deretan butik-butik mewah sehingga mencetuskan kecintaan saya kepada fesyen,” katanya.
Apabila kembali ke Malaysia, beliau berkhidmat di Sekolah Perhotelan Perbadanan Nasional Bhd (Pernas).
Beliau juga berkhidmat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam selama 18 tahun sebelum ditukarkan ke UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang, manakala kini ditugaskan semula ke UiTM Shah Alam dan mengajar bahasa Perancis. Beliau turut bertindak sebagai penyelaras untuk bahasa Asia dan Eropah selama lebih dua tahun.
Walaupun berpengalaman luas, Haslinda masih bersemangat untuk bekerja dan masih bergelar pensyarah.
Haslinda dan suami, Mohd Rizal serta dua anak lelakinya suka aktiviti luar dan memastikan mereka memenuhi masa luang bersama.Daripada pemerhatian terhadap gaya pemakaian tudung dan juga pemilihan kain serta bentuk tudung masa kini, Haslinda menyedari terdapat banyak ruang yang masih belum diterokai jenama tudung yang dijual dalam talian.
Suka akan tudung atau selendang menggunakan fabrik premium dengan hiasan mewah dan perincian halus, beliau dan Rizal memulakan MyPapillon kerana keinginan untuk membawa kemewahan kepada orang ramai melalui platform dalam talian.
Pasangan suami isteri itu berharap perniagaan yang dibina dapat diteruskan anak lelaki mereka suatu masa nanti. Bekerja di MyPapillon, Haslinda dan Rizal membentuk satu perkongsian lancar, bertujuan memberi pelbagai pilihan tudung kepada pelanggannya dengan perincian dan perhiasan mewah yang hanya boleh didapati di butik pereka. Melalui MyPapillon, mereka membawa hijab daripada pereka ke platform dalam talian yang lebih mudah untuk diakses.
Perjalanan MyPapillon turut dibantu orang kuat Haslinda sendiri iaitu Siti Nadia Saad. Bagi mereka yang berminat mengikuti perkembangan fesyen tudung dari MyPapillon boleh layari website www.mypapillon.my